Bunyinya sukar untuk dipercayai bahawa umat Islam seluruh dunia kini masih belum begitu jelas apakah perintah pertama dari Allah. Apabila seseorang memeluk agama Islam apakah perintah pertama dari Allah yang sepatutnya dilakukan. Umat Islam seluruh dunia berfikir perintah pertama dari Allah adalah solat lima waktu setiap hari dan setelah seseorang memeluk agama Islam perintah pertama dari Allah yang perlu dilakukan oleh muallaf adalah solat lima waktu setiap hari. Adakah benar perintah pertama dari Allah adalah solat lima waktu setiap hari ataupun menyampaikan kalimah mulia iaitu Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan Aku naik saksi Muhammad pesuruh Allah kepada orang bukan Islam.
Ayat yang pertama dalam Surah Iqra’ adalah ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w ketika nabi s.a.w. sedang bermunajat kepada Allah dalam gua. Ayat yang mempunyai makna Bacalah. Dengan nama tuhan mu yang menciptakan manusia dari segumpal darah . Ramai umat Islam berfikir bahawa Allah memerintahkan umat Islam supaya belajar membaca. Ramai umat Islam percaya bahawa perintah pertama adalah membaca dan mereka mentafsirkan membaca sebagai mencari ilmu pengetahuan. Adakah pentafsiran ini berlandaskan sunnah atau datang dari pemikiran kita. Kita tidak boleh mentafsirkan Al-Quran mengikut pemikiran kita tetapi hendaklah mentafsirkan Al-Quran berlandaskan sunnah. Sunnah bermaksud perbuatan nabi selepas menerima wahyu. Adakah selepas Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu nabi s.a.w pergi belajar membaca untuk mencari ilmu pengetahuan? Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi mencari ilmu pengetahuan dengan belajar menulis dan membaca selepas menerima wahyu tetapi sebaliknya nabi s.a.w balik ke rumah dalam keadaan ketakutan dan menggigil, kemudian berbaring dan meminta isteri kesayangannya Siti Khadijah r.a untuk menutup tubuhnya dengan selimut. Nabi Muhammad s.aw. dalam keadaan ketakutan, disebabkan peristiwa tersebut baru sahaja berlaku dan ini adalah yang pertama kali di alami dalam hidupnya. Isteri kesayangannya cuba memberi ketenangan dengan mengatakan bahawa Allah s.w.t tidak melakukan kemudaratan atau ketidakadilan kepadanya kerana suaminya sentiasa berkelakuan baik dan sempurna. Semasa beliau sedang berbaring dan berselimut datang lagi wahyu yang seterusnya iaitu: Wahai orang yang berselimut, bangunlah dan beri peringatan dan tuhanmu besarkanlah.
Wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w bukan diperintahkan untuk pergi belajar mencari ilmu pengetahuan atau belajar menulis dan membaca. Allah telah membuat Nabi Muhammad s.a.w tidak pandai menulis dan membaca sehingga nabi s.a.w meninggal dunia. Allah melakukan sedemikian agar seluruh manusia mengetahui bahawa Al-Quran bukan di tulis oleh pesuruhnya tetapi Al-Quran adalah perkataan Allah. Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah belajar membaca dan menulis bukan bermakna nabi s.a.w seorang yang jahil. Nabi Muhammad s.a.w mempunyai ilmu pengetahuan yang begitu tinggi dan beliau belajar secara langsung dari Allah pemilik segala ilmu. Wahyu yang pertama diturunkan adalah untuk memberitahu bahawa Allah adalah pencipta manusia dan memperkenalkan Muhammad adalah pesuruh Allah. Wahyu pertama bukanlah satu perintah untuk umat Islam pergi mencari ilmu pengetahuan dengan menulis dan membaca seperti yang telah difahami dan dipercayai oleh umat Islam. Wahyu kedua diturunkan pula adalah merupakan satu perintah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya mengingatkan manusia tentang kebesaran Allah. Wahyu kedua merupakan ayat perintah dan perintah pertama kepada umat Islam adalah dakwah atau mengajak manusia kepada Allah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda sampaikan walaupun satu ayat. Apabila seseorang telah memeluk islam, ayat pertama yang mereka tahu hanyalah dua kalimah syahadah dan tugas mereka adalah menyampaikan kalimah mulia kepada sesiapa yang belum pernah mengucap kalimah mulia. Perintah ini merupakan satu kewajipan bagi setiap umat islam sama ada lelaki dan perempuan. Setelah Abu Bakar r.a. memeluk islam beliau menyampaikan kalimah mulia kepada orang lain. Amalan menyampaikan kalimah mulia di sebut sebagai dakwah atau tabligh dan ini merupakan perintah pertama dari Allah. Apabila kita menyampaikan kalimah mulia kepada mereka yang tidak pernah mengucap kalimah kemudian mereka menjadi saksi ke atas kita punya pengucapan pada kalimah. Kemudian mereka pula mengucapkan kalimah dan kita pula menjadi saksi di atas pengucapan kalimah dari mereka. Apabila kita melakukan perbuatan ini, kita sebenarnya telah melakukan amalan rukun Islam pertama. Rukun Islam pertama adalah aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad pesuruh Allah.
Umat islam telah memahami bahawa rukun Islam pertama adalah mengucapkan dua kalimah syahadah hanya sekali seumur hidup. Umat Islam juga memahami bahawa apabila seseorang telah mengucapkan kalimah mulia dan pengucapan tersebut telah disaksikan oleh seorang Islam yang lain, maka orang tersebut telah menunaikan tuntutan rukun Islam pertama dan kemudian tidak perlu melakukannya lagi sehingga seseorang itu meninggal dunia. Selepas mengucapkan kalimah mulia, orang yang baru memeluk Islam akan diberitahu untuk mengerjakan solat lima waktu setiap hari bagi menjalankan rukun Islam kedua. Rukun Islam kedua mesti dilakukan lima kali sehari tetapi rukun Islam pertama iaitu mengucap kalimah mulia hanya sekali dalam seumur hidup. Ini menunjukkan bahawa orang Islam telah melakukan rukun Islam kedua lebih berbanding rukun Islam pertama. Ia seperti tidak masuk akal bahawa, rukun pertama yang mana merupakan rukun Islam yang teramat penting hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup dan rukun Islam kedua iaitu solat lima waktu dilakukan lima kali setiap hari sehingga kita meninggal dunia. Amat mengejutkan bahawa setiap umat islam tiada mempersoalkan perkara ini yang nampak seperti tidak logik dalam prinsip atau rukun yang teramat penting dalam islam. Lima rukun islam adalah perkara paling penting dan asas dalam Islam. Tiada seorang pun yang dapat menjadi orang islam yang baik tanpa menjalankan keseluruhan lima rukun islam dan perkara paling penting dan asas bagi semua rukun Islam adalah rukun Islam yang pertama.
Rukun Islam pertama bukan hanya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang saksi seumur hidup tetapi selepas mengucap dua kalimah syahadah dia perlu memenuhi hak kalimah tersebut. Apakah hak kalimah tersebut? Hak kalimah tersebut adalah menyampaikan kalimah mulia kepada bukan Islam dan mereka bersaksi di atas pengucapan dari kita dan apabila orang bukan Islam juga mengucap kalimah mulia dan kita menjadi saksi di atas pengucapan dari mereka. Ini adalah perintah pertama dari Allah. Ini juga merupakan Rukun Islam yang pertama serta ini adalah kerja nabi atau kerja dakwah. Dalam kata lain, kerja nabi atau kerja dakwah merupakan perintah pertama dari Allah kepada seseorang yang telah memeluk agama Islam dan ini adalah bersamaan dengan apa yang telah Nabi Muhammad s.a.w telah bagi tahu kepada Abu Bakar r.a setelah beliau memeluk agama Islam. Segala yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan merupakan kehendak dan kemahuan dari Allah. Oleh sebab kerja nabi merupakan rukun Islam yang pertama, setiap muslim hendaklah melakukan kerja nabi sekurang-kurangnya 45minit setiap hari dan mereka hanya berhenti dari kerja nabi hanya apabila mati.
Apabila orang Islam melakukan kerja nabi iman akan menjadi kuat. Setelah iman menjadi kuat maka umat Islam dapat mentaati segala perintah Allah mengikut cara Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam akan mempunyai sifat dan amalan seperti Nabi Muhammad s.a.w dan akan menjadi contoh kepada seluruh manusia yang ingin mengikuti. Apabila umat Islam tidak membuat kerja nabi, seperti yang telah terjadi pada masa kini maka iman umat Islam akan menjadi lemah serta tidak dapat mentaati segala perintah Allah seperti cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam tidak akan dapat mempunyai sifat serta amalan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka akan di lihat oleh seluruh dunia sebagai manusia yang terhina dan sentiasa dimalukan. Mengapa umat islam berada dalam keadaan sebegini rupa ialah tiada sebab lain melainkan umat Islam tidak memenuhi tuntutan dan hak dua kalimah syahadah setelah Allah yang maha pengasih dan penyayang memberkati umat Islam dengan kalimah yang teramat mulia.
Prof Dr Nasoha Saabin
Dekan Fakulti Optometri
Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech
Kuala Lumpur, Malaysia
Apa yang faham dari artikel di atas adalah semua ulama tidak faham tuntutan kalimah. Betul ka macam tu.