KUALA TERENGGANU (25 SEPTEMBER, 2011), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, YPKT telah menganjurkan Program Bimbingan Pakar bersama Professor Dr Nasoha Saabin telah dilaksanakan di dua tempat berasingan iaitu di Dewan Utama, Masjid Al- Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu dan di Dewan Solat, Masjid Raja, Chendering, Kuala Terengganu. Professor Dr Nasoha, lulusan sarjana dari Universiti Melbourne Australia ialah seorang yang aktif dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang kesihatan holistic dan merupakan pengasas dan pengendali perubatan merawat tekanan dan rawatan badan di klinik Integrative Holistic Wellness Centre, IHWC di Kuala Lumpur.
Professor Dr Nasoha Saabin menyampaikan ceramah di Dewan Utama, Masjid Al- Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu
Di dalam ceramah yang dikendalikan, Professor telah membentangkan ceramah bertajuk “Keluarga Bahagia – Mengubah perangai dengan terapi minda dan keyakinan dan bagaimana kita boleh sihat”. Antara inti pati ceramah yang disampaikan ialah kesihatan manusia dipengaruhi oleh gaya hidup manusia itu sendiri termasuk pemikiran, keyakinan dan percakapan yang diamalkan. Professor telah memperkenalkan satu bentuk terapi audio yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak bermula lahir hingga berusia 7 tahun. Kaedah terapi berbentuk CD audio itu diyakini mampu melahirkan individu serta keluarga yang cemerlang, bahagia dan sejahtera. Professor juga telah memperkenalkan kepada audien, 2 orang kanak-kanak iaitu Muhammad Irfan (6 tahun) dan Muhammad Umar (5 tahun) yang telah menunjukkan personaliti hebat hasil daripada kaedah audio terapi yang digunakan oleh ibubapa mereka sejak lahir hingga sekarang selama 6 tahun berterusan setiap hari tanpa henti.
Professor Dr Nasoha Saabin menyampaikan ceramah di Dewan Solat, Masjid Raja, Chendering, Kuala Terengganu
Ramai audien yang terdiri daripada ibubapa dilihat telah menunjukkan minat untuk menggunakan kaedah terapi audio ini kepada anak-anak mereka. Di akhir program, Professor Dr Nasoha menjelaskan bahawa terapi ciptaannya itu adalah yang pertama di dunia dan berharap sekiranya kaedah ini dapat dipraktikkan oleh rakyat Negeri Terengganu sebagai model kepada seluruh rakyat Malaysia.